Aku ada banyak sebab kenapa tak pernah jemu berkunjung ke Jepun banyak kali. Negara terbitnya matahari ini menawarkan pelbagai jenis tarikan untuk para pelancong dari makanan, budaya, teknologi dan sudah tentu destinasi-destinasi cantik. Walaupun aku dah pergi ke sesuatu tempat tu beberapa kali, ada saja benda baharu yang aku boleh teroka. Ini la sebabnya kenapa Jepun terkenal dengan taglinenya yang berbunyi "Endless Discovery".

Setakat ini aku dah berpeluang untuk pergi ke beberapa destinasi di Jepun termasuklah Kyoto, Hiroshima, Okayama, Hokkaido dan banyak lagi. Alhamdulillah, rezeki aku tidak pernah putus untuk jejakkan kaki ke negara ni kerana aku berpeluang lagi ke sini untuk meneroka rantau yang dikenali sebagai Chūbu atau central Japan.


Untuk trip kali ini aku di bawa ke tarikan-tarikan yang terdapat di beberapa prefecture iaitu Fukui, Ishikawa, Gifu dan Toyama. Menariknya ialah aku ke banyak tempat dengan hanya menggunakan JR Takayama-Hokuriku Area Tourist Pass (JRTHP). Senang sebab bila beli pas ni, korang boleh naik pengangkutan terpilih dari bas, tren sebanyak yang boleh dalam masa lima hari. Nanti aku cerita lebih lanjut mengenai pas ini ya.


Informasi-informasi yang akan aku kongsikan dalam artikel ini ialah berkenaan dengan:
1. Penerbangan antara Kuala Lumpur dan Jepun.
2. JR Takayama - Hokuriku Area Tourist Pass.
3. Route dan tempat-tempat yang boleh dikunjungi.



 Penerbangan 

Aku naik flight Malaysia Airlines dari Kuala Lumpur ke Osaka. Berikut merupakan maklumat penerbangan aku ketika itu:

Kuala Lumpur International Airport (KLIA) - Kansai International Airport (KIX) 
MH52
16/02/2020
22:40 - 5:40

Kansai International Airport (KIX) - Kuala Lumpur International Airport (KLIA) 
MH53
23/02/2020
9:55 - 15:55

Durasi: 6 jam 30 minit



 JR Takayama - Hokuriku Rail Pass 

JR Pass ini memang terkenal dalam kalangan pengunjung luar negara yang ingin ataupun sudah beberapa kali ke Jepun. Rasanya tak perlu la aku perkenalkan lagi apa itu JR Pass ya. Tapi kalau ada antara korang yang nak tahu tentang pass ni, boleh klik sini.



Kali ni aku nak kongsi serba sedikit mengenai JRTHP. Ia merupakan pas menawarkan para pengunjung asing perjalanan tanpa had dengan pelbagai tren JR terpilih di sepanjang laluan Nagoya dengan Takayama dan Toyama, Osaka dengan Kanazawa dan Toyama serta beberapa perkhidmatan bas ke Shirakawago selama lima hari.

Bagi aku, pas ini sangatlah jimat kalau korang bercadang untuk pergi ke beberapa prefecture atau bandar cuma masa tu la agak kelam kabut sikit. Tapi kalau korang tak kisah banyak gerak dari satu tempat ke satu tempat dalam masa yang agak pendek, pas ini semestinya untuk korang.

Pengangkutan antara Shirakawago dari Toyama atau Kanazawa saja pun dah cecah 10,000 JPY. Korang boleh bayangkan betapa jimatnya kalau guna pas ni.

Harga kalau beli dari luar Jepun:
14,260 JPY (Dewasa)
7,130 JPY (Kanak-kanak)

Harga kalau beli ketika di Jepun:
15,280 JPY (Dewasa)
7,640 JPY (Kanak-kanak)

Tempoh sah: 5 hari berturut-turut.

Klik sini untuk mengetahui lebih lanjut mengenai perkhidmatan yang korang boleh guna dengan JRTHP dan pelbagai maklumat lagi. Korang juga boleh semak senarai agensi pelancongan di Malaysia yang menjual JR pass.

Tip: Kalau korang guna Klook, boleh beli JRTHP melalui sini juga. Harga cuma RM518.



 Laluan 

Memandangkan banyak penerbangan terus dari KL ke Osaka, aku jadikan Osaka sebagai destinasi utama (pergi dan balik. Selain itu, jarak antara Osaka dengan bandar-bandar yang aku lawati ni tak ada la jauh sangat.


Perjalanan dimulakan dari Osaka (1), ke Fukui (2), Katsuyama (3), Kanazawa (4), Toyama (5), Shirakawa-Go (6), Takayama (7), Gero (8), Nagoya (9) dan seterusnya balik semula ke Osaka.


Untuk laluan ni, korang boleh rancang ikut kesesuaian masa dan juga bajet masing-masing. Aku juga nak kongsi kat korang yang ada juga beberapa tempat di antara laluan ni yang susah nak akses dengan tren atau bas dan lebih senang kalau naik teksi. Korang boleh abaikan yang mana tak perlu ya.

Nota:

1. Perjalanan Shinkansen dari Nagoya ke Osaka tidak termasuk dalam JRTHP. Oleh itu, korang boleh sediakan lebih bajet ataupun rancang laluan alternatif ya.

2. Maaf kalau aku tak dapat kongsi maklumat mengenai makanan sebab bagi aku hal ini agak sensitif. Kebanyakannya aku makan makanan laut atau vegetarian. Di kawasan ni masih belum banyak restoran yang ada sijil halal. Tapi banyak je pilihan makanan laut atau vegetarian. Yang ni ikut citarasa masing-masing la ya. Senang je nak cari melalui aplikasi seperti Muslim Pro atau Zabihah.



 Hari Pertama 

Aku sampai di Kansai International Airport sekitar pukul 5.30 pagi. Tren bertolak dalam jam 8.45 pagi. Ada banyak masa lagi untuk buat apa yang perlu seperti solat, segarkan diri, tukar baju, sarapan pagi sebelum pergi ke pejabat JR untuk dapatkan JRTHP.


Bagi yang perlu tebus pas di pejabat JR, pastikan korang bawa passport ya. Staff akan minta passport korang dan beberapa maklumat lagi sebelum mereka bagi pas. Klik sini untuk tahu macam mana korang nak ke pejabat JR di Kansai International Airport. Alhamdulillah, semua selesai sebelum waktu bertolak.


Destinasi pertama aku pergi ialah Fukui. Perjalanan bermula dari Kansai International Airport dengan menaiki tren Haruka Express No. 8 dan berhenti di Shin Osaka (8.45AM - 9.36AM). Tren dari airport ni agak istimewa guys sebab hiasan dalaman dan luarannya adalah bertemakan Hello Kitty. Kawaiiii!

Nota: Jadual operasi tren Haruka Express No.8 berbeza mengikut hari. Jangan lupa untuk semak kemaskini jadual untuk rancang perjalanan korang ya.

Dari Shin Osaka, aku naik tren Thunderbird 13 menuju ke Fukui Station (9.46AM - 11.34AM). Setelah sampai di Fukui Station, kitaorang (saya travel dengan beberapa orang lagi) melawat ke kawasan taman kecil yang mempamerkan beberapa replika dinasaur. Terdapat sedikit info menarik tentang Dinasaur serta spot untuk bergambar di sini. Menariknya replika dinosaur ni bukan sahaja bersaiz besar tapi juga ia boleh bergerak. Nampak macam real juga la!


Tahukah anda bahawa Fukui Precture merupakan tempat di Jepun yang terkenal dengan tapak penemuan fosil dinosaur? Betul! Ianya terletak di bandar Katsuyama dan sebab itulah ia dikenali sebagai 'Kingdom of Dinasour'.


 Fukui Prefectural Dinosaur Museum 

Kalau korang berminat untuk mempelajari sejarah dan juga maklumat mengenai fosil-fosil dinosaur di Katsuyama, boleh la berkunjung ke Fukui Prefectural Dinosaur Museum. Terdapat pelbagai jenis pertunjukan di muzium ini.


Tak silap aku sekitar 44 rangka dinosaur yang dijumpai di Jepun dan juga dari luar Jepun. Tak hairan la kenapa muzium ini dianggap sebagai salah satu muzium dinosaur terkenal di dunia.

Bayaran masuk:
720 JPY (Dewasa)
260 JPY / 410 JPY (Pelajar)

Waktu operasi:
9.00 pagi hingga 5.00 petang

Dari Fukui Station, korang perlu naik teksi atau bas/van ke Fukui Prefectural Dinosaur Museum. Perjalanan mengambil masa sekitar 45 minit lebih juga. Oleh itu, korang boleh langkau je tarikan ini.


 Penginapan: Oedo Onsen Monogatari Awara Onsen Awara 

Siapa peminat onsen di sini? (Mereka yang tak tahu apa itu onsen boleh klik sini) aku ada benda nak kongsi dekat korang. Penginapan untuk hari pertama aku di sini ialah terletak di Awara iatu pekan di Fukui yang terkenal dengan onsen.

Nama hotel yang aku inap itu ialah Oedo Onsen Monogatari Awara Onsen. Ia terletak sekitar 10 minit memandu dari stesen JR Awaraonsen. Bagi aku hotel ni sangat la selesa. Dia tak terlalu moden. Rasa macam duduk kat rumah tradisional Jepun. Yang paling best ialah hotel ni ada kolam air panas semula jadi. Selain itu, hidangan buffet sarapan pagi & makan malam pun meriah.

Malam tu aku tidur nyenyak sebab dapat tengok salji turun sebelum tidur. Alhamdulillah!



 Hari Kedua 

Aku mulakan hari kedua aku di sini dengan sarapan pagi yang sedap di hotel. Rasa menyesal bangun lambat sikit. Tapi tak apa, dapat makan sikit pun jadi la. Rasa bertuah sangat sebab masa tu view kat luar cantik.


Pokok dan bangunan di kawasan Awara diselaputi dengan salji. Oleh itu, korang wajib periksa ramalan cuaca setiap hari. Mana tahu berpeluang merasa pengalaman tengok salji.

Tanpa melengahkan masa, kitaorang mulakan perjalanan ke tarikan pertama iaitu Tojinbo. Batu-batu kat sini terbentuk dari pukulan ombak sekaligus menjadikan ia sebagai spot menarik untuk bergambar.


 Tojinbo 

Terletak di bahagian utara bandar Fukui, tebing ini terkenal dalam kalangan pengunjung kerana pemandangan di sekitarnya yang agak cantik. Ada jalan khas untuk korang gunakan ketika di sini. Jangan terlampau adventurous pula ya sampai boleh membahayakan diri.


Waktu paling ideal untuk korang datang ke sini ialah masa sunset tapi bergantung pada cuaca juga la ya. Masa aku ke sini cuaca tak begitu mengizinkan sebab angin sangat kuat dan sejuk yang amat. Nasib tak menyebelahi.

Cara-cara ke sini:
1. Naik tren Echizen Railway dari Fukui ke stesen Mikuniminato. Dari Mikuniminato, korang boleh naik bas ke Tojinbo.
2. Naik bas dari stesen Awara Onsen.
3. Kalau ada kereta sewa, senang je la. Cari saja Tojinbo di Google Map/Waze. Banyak tempat letak kereta disediakan. Jangan risau.

Nota: Korang boleh langkau Tojinbo kalau masa atau bajet tak mencukupi ya guys.


 Footbath 

Dari Tojinbo, aku terus ke tempat footbath di Awara. Tempat yang tenang untuk para pengunjung menikmati kolam air panas untuk kaki secara percuma. Ya, PERCUMA. Lagi best fasiliti dia sangatlah bersih. Ini la sebab aku suka sangat dengan Jepun.


Aku sarankan korang bawa towel kecil untuk lap kaki supaya tak basahkan tempat ni. Orang dah bagi fasiliti percuma, kita kena la hargai kan.

Waktu operasi:
7.00 pagi - 11.00 malam

Cara nak ke sini:
Cari je 'Ashiyu Awara' di Google Maps.


 Tren: Awara Onsen - Kanazawa 

Perjalanan dari Awara Onsen ke Kanazawa menaiki tren JR (Thunderbird 7) mengambil masa hampir 50 minit.


Pemandangan sepanjang jalan sangat cantik sebab tu 50 minit bagi aku tak terasa lama pun. Tambahan lagi tren JR ni selesa, ada tempat untuk caj telefon dan meja kecil untuk buat kerja atau sebagainya.


 Higashi Chaya Districts 

Kunjungan anda di Kanazawa tidak lengkap kalau tak pergi ke kota lamanya iaitu dikenali sebagai Higashi Chaya. Perkataan 'chaya' bermaksud teahouse iaitu restoran eksklusif dimana para tetamu disambut oleh geisha dengan hiburan lagu atau tarian pada zaman Edo.


Kini, kawasan ni mendapat kunjungan orang ramai kerana struktur bangunan-bangunan sini yang agak unik serta kepelbagain kedai dari restoran, kafe, souvenir dan banyak lagi. Jangan lupa untuk tengok produk-produk yang diperbuat dengan daun emas. Sebagai info tambahan, Kanazawa cukup terkenal dengan penghasilan daun emas.


Antara yang korang boleh cuba ialah ais krim bersalut emas di Hakuichi. Dengan harga 891 JPY satu kon, bagi aku emas tu lebih kepada hiasan je. Nasib la rasa ais krim sedap. Kalau korang ada bajet lebih, boleh la cuba ya.


 Omicho Market 

Selesai berjalan di sekitar Higashi Chaya, aku terus ke Omicho Market. Siapa kat sini jenis suka pergi ke pasar tempatan, tempat ni semestinya wajib dikunjungi. Omicho Market merupakan pasar makanan segar terbesar di Kanazawa sejak zaman Edo lagi.


Ia mempunyai sekitar 200 kedai dan gerai yang menjual pelbagai jenis barang dari makanan, barangan rumah, pakaian dan banyak lagi. Waktu paling sesuai untuk datang ke sini ialah pada waktu pagi. Tapi ramai juga yang datang pada sebelah tengahari untuk makan.

Waktu operasi:
9.00 pagi hingga 5.30 petang

Cara ke sini:
1. Jalan kaki dari stesen JR Kanazawa. Ia mengambil masa sekitar 15 - 20 minit je.
2. Naik bas dari stesen JR Kanazawa dan turun di stesen Musashigatsuji.


 21st Century Museum of Contemporary Art 

Mula beroperasi pada tahun 2004, The 21st Century Museum of Contemporary Art (21st Century Museum) mempamerkan pelbagai karya seni yang dihasilkan oleh artis dari dalam dan luar Jepun. Disebabkan itu, muzium ini dikatakan sebagai antara muzium seni terkenal di Jepun.


Apa yang membuatkan muzium ini lain daripada bangunan-bangunan yang terdapat di sekitar Kanazawa ialah seni binanya yang unik iaitu berbentuk bulat dan tidak mempunyai fasad dan juga pintu masuk utama. Antara karya menarik di sini ialah "Swimming Pool" oleh Leandro Erlich dan juga "Blue Planet Sky" oleh James Turrell. Banyak lagi yang korang boleh tengok di sini.


Untuk betul-betul menghargai kebanyakan hasil karya, aku sarankan korang spend sekurang-kurangnya 1 jam di sini. Keadaan dalam muzium pun boleh tahan sesak juga masa waktu sibuk.

Laman web:
Klik sini

Waktu operasi:
10.00 pagi - 6.00 petang (ruang pameran)
9.00 pagi - 10.00 malam (ruang awam)

Bayaran masuk:
1,200 JPY (harga berbeza mengikut pameran)


 Kenrokuen Park 

Tahukah anda ada tiga jenis taman landskap tercantik di Jepun iaitu di Mito (Kairakuen), Okayama (Korakuen) dan juga Kenrokuen di Kanazawa.


Taman ini dibuka untuk orang awam pada tahun 1871 dan hingga sekarang ia menerima ramai pengunjung dari dalam dan luar negara. Menariknya, pokok-pokok di sini memberikan suasana taman yang berbeza mengikut musim. Aku pasti mesti cantik pada musim luruh dan bunga.

Waktu operasi:
7.00 pagi - 6.00 petang (Mac hingga Oktober)
8.00 pagi - 5.00 petang (Oktober - Febuari)

Bayaran masuk:
320 JPY


 Tea Ceremony 

Bila dah selesai jalan-jalan di taman Kenrokuen, petang tu aku singgah Gyokusen'an Rest House untuk upacara menikmati teh. Tempat ni terletak dalam kawasan Kanazawa Castle Park.


Jujur aku cakap, rasa tenang betul duduk dalam bangunan ni sambil menikmati teh panas dan manisan tradisional Jepun yang dikenali sebagai namagashi sambil menikmati pemandangan taman kecil yang dihiasi dengan butiran salji. Ewah ayat.

Bayaran:
720 JPY/seorang


 Penginapan: Square Hotel Kanazawa 

Hotel yang aku inap ketika di Kanazawa ialah Square Hotel Kanazawa yang terletak tak jauh dari Omicho Market. Seni bina dalaman dan luaran hotel ni agak moden iaitu lebih kearah minimalis. Ruang dalam yang agak kemas. Bilik pula selesa, lengkap dengan keperluan buat tetamu.


Hidangan sarapan pagi agak simple tapi sedap. Siap ada puding karamel untuk pencuci mulut ya. Hotel ni memang highly recommended!



 Hari Ketiga 

 Tren: Kanazawa Station - Shin Takaoka Station 

Untuk hari ketiga, trip bermula dari stesen JR Kanazawa dan naik tren Tsurugi 704 ke stesen JR Shin-Takaoka.


Perjalanan mengambil masa sekitar 15 minit.


 Takaoka Otogi Forest Park 

Ramai yang tanya apa la menariknya tentang bandar Takaoka ni. Aku pun sebenarnya tertanya-tanya juga. Antara keistimewaan bandar ini ialah ia merupakan tempat kelahiran orang yang mencipta karakter anime Doraemon, iaitu Fujiko F. Fujio. Jika korang peminat tegar Doraemon, sini la yang wajib anda pergi sebab ada banyak tarikan yang berkaitan dengan anime Jepun ni.


Di Takaoka Otogi Forest Park, terdapat kawasan taman permainan yang sama seperti dalam babak cerita Doraemon dimana tempat pertemuan Nobita, Jaian dan juga kawan-kawan mereka yang lain.

Cara nak ke sini:
1. Jalan kaki selama 15 minit dari stesen JR Shin-Takaoka.2
2. Naik bas Kaetsuno dan berhenti di hentian nombor 3 (Sano-Shinmachi).

Nota: Takaoka ni berbaloi singgah kalau korang memang minat sangat cerita Doraemon. Dipersilakan langkau tempat ni dan terus ke Toyama, iaitu tempat seterusnya.


 Tren: Shin-Takaoka Station - Toyama Station 

Dari stesen Shin-Takaoka, kitaorang naik tren Shinkansen Tsurugi 714 yang hanya mengambil masa sekitar 8 minit je untuk sampai di bandar Toyama, iaitu bandar utama dan terbesar di Toyama Prefecture.

Ia menjadi destinasi persinggahan terkenal dalam kalangan pengunjung yang nak ke Shirakawago dan juga yang nak melihat keindahan alpine melalui Tateyama Kurobe Apline Route.


 Fugan Unga Kansui Park 

Memandangkan masa kitaorang di Toyama agak singkat, tempat yang aku sempat singgah ialah Fugan Unga Kansui Park. Taman ni lagi menarik pada waktu malam sebab ada persembahan lampu. Rasa tenang je jalan-jalan di sekitar sini.


Tarikan lain taman ini ialah sudah tentu kafe Starbucks yang menawarkan pemandangan cantik sebab tu la ia juga tersenarai sebagai salah satu kafe Starbucks tercantik di dunia. Semestinya tempat yang ideal untuk santai sambil menikmati keindahan di sekitar sini.

Cara ke sini:
Jalan kaki sekitar 9 minit dari stesen JR Toyama. Dekat je.


 Penginapan: Hotel Grand Terrace Toyama 

Kalau di Toyama, aku sarankan korang untuk menginap tidak jauh dari stesen JR Toyama untuk memudahkan pergerakan korang kan. Ada banyak hotel-hotel dengan harga berpatutan terletak di sekitar stesen antaranya ialah Hotel Grand Terrace Toyama.

Bilik selesa, sambungan WiFi percuma, ada kerusi urut percuma untuk kegunaan tetamu, dekat dengan kedai runcit dan banyak lagi.



 Hari Keempat 

 Bas: Toyama Station - Shirakawa-Go by bus 

Secara jujur, aku memang paling teruja nak pergi Shirakawago sebab selalu tengok gambar dari kawan-kawan je. Lagi best sebab perkhidmatan bas dari Toyama ke Shirakawago termasuk dalam JRTHP.


Jika korang plan nak naik bas iaitu Nohi Bus dari stesen Toyama, pastikan korang reserve seawal yang boleh sebab laluan ni agak terkenal lebih lebih pada musim sejuk. Korang boleh buat melalui panggilan telefon atau terus ke stesen.

Cara naik bas dari stesen Toyama:
1. Cari je kafe Starbucks. Stesen bas Nohi terletak bertentangan dengan Starbucks.


Perjalanan dari Toyama ke Shirakawago mengambil masa sekitar 1 jam lebih. Keselesaan bas ditambah lagi dengan pemandangan cantik saat kitaorang nak sampai Shirakawago.


 Shirakawago 

Bila sampai di Shirakawago, aku yakin bahawa tempat ini merupakan highlight utama dalam laluan JR Takayama Hokuriku Area Pass. Cantik yang amat guys. Di sini, aku nak ingatkan korang awal-awal untuk luangkan lebih masa di sini. Kalau boleh, menginap sekurang-kurangnya satu malam.


Tapi kalau masa korang agak terhad, boleh la buat sesuatu yang sama macam aku buat. Kitaorang cuma ada dalam 3 jam je untuk keliling di Shirakawago.


Tempat pertama ialah spot untuk tengok kawasan perkampungan dari atas. Untuk sampai, korang perlu jalan kaki dalam 20 minit. Kalau malas jalan, boleh naik shuttle bas yang ada setiap 20 minit. Harga sehala ialah 200 JPY. Boleh naik dengan bas dan turun dengan jalan kaki.


Spot ni boleh tahan ramai orang juga selalunya. Oleh itu, pandai-pandai la cari spot terbaik ya. Pemandangan dari atas sangat cantik. Tak hairan la ia tersenarai sebagai salah satu tapak warisan UNESCO di Jepun sejak tahun 1995.


Salah satu sebab ia tersenarai sebagai tapak warisan UNESCO ialah kerana kewujudan rumah ladang yang dikenali sebagai gassho-zukuri. Struktur bangunan ni memang menakjubkan. Ia dibina tanpa menggunakan paku dan tahan untuk cuaca sejuk melampau dan sebagainya. Jangan lupa untuk ke Wada-ke House untuk mempelajari dengan lebih lanjut lagi mengenai struktur rumah ladang di sini.


 Bas: Shirakawago - Hida Furukawa 

Dari Shirakawago, kitaorang teruskan perjalanan ke Hida Furukawa dengan menaiki bas. Ini tak termasuk dalam JRTHP. Korang boleh langkau kalau tak ada bajet atau masa nak pergi. Perjalanan ke sini mengambil masa kira-kira sejam.


 Hida Furukawa 

Hida Furukawa merupakan salah satu bandar kecil tercantik di Gifu prefecture. Ia lebih kecil dan tenang jika dibandingkan dengan Takayama. Ramai yang datang ke sini sebab kota lamanya serta festival-festival menarik yang diadakan di sini.


Ada kat sini yang tengok filem anime bertajuk "Your Name"? Kalau ada, ni mungkin boleh menarik minat korang. Perpustakaan awam di Hida Furukawa digunakan sebagai inspirasi lokasi di salah satu babak dalam cerita ni. Korang boleh masuk dalam perpustakaan ini dan pastikan minta kebenaran dulu sebelum ambil gambar dan yang penting, jangan buat bising.


Selain itu, ciri menarik kota lama Hida Furukawa ialah longkang di sini sangatlah bersih sampai. Bukti? Setiap bulan April, para penduduk nampak banyak ikan koi yang berenang di sepanjang longkang kat sini.


Tip: Untuk makanan pula, kitaorang dimaklumkan terdapat restoran yang hidang makanan Muslim-friendly dan juga menyediakan ruang solat. Nama restoran tu ialah Fukuzenji Soba. Boleh la cuba.

Seterusnya, berangkat ke Takayama iaitu sekitar 25 minit memandu dari Hida Furukawa. Sebelum daftar masuk hotel, kitaorang sempatkan diri tengok persembahan tradisional pada pukul 5.30 PM.


 Dekonaru-Za 

Jika korang minat persembahan tradisional, boleh datang ke Dekonaru-Za yang terletak di tengah-tengah kota lama Takayama. Aku jarang tengok persembahan tradisional yang menarik, interaktif dan bertenaga seperti ini. Oleh itu, korang kena tengok kalau ada bajet lebih.


Ianya dipersembahkan oleh para penghibur tempatan yang datang dari kawasan ini. Part baling menarik ialah para tetamu berpeluang untuk mencuba beberapa alatan muzik dan juga berinteraksi dengan mereka. Tambahan, tiada dialog dalam persembahan ini. Yang ada cuma bunyi dram dan juga muzik yang dimainkan oleh mereka.

Laman web:
Klik Sini

Harga tiket:
3,000 JPY (dewasa)
1,500 JPY (kanak-kanak)

Waktu operasi:
Isnin hingga Jumaat

Jadual:
11.00 pagi - 11.45 pagi (Isnin - Selasa)
1.30 petang - 2.15 petang
5.30 petang - 6.15 petang
7.30 malam - 8.15 malam (Rabu, Khamis, Jumaat)


 Penginapan: Hotel Associa Takayama Resort 

Penginapan aku di Takayam agak fancy kali ni iaitu Hotel Associa Takayama Resort. Hotel agak besar dan terletak di kawasan bukit yang menjamu mata para tetamu dengan pemandangan kawasan bandar Takayama yang cantik (lagi-lagi bila salji turun).


Memandangkan hotel ni terletak di dekat dengan kawasan onsen, ia menyediakan kolam air panas semula jadi khas buat para tetamu. Bestnya la pergi masa tu. Takde orang sangat pula tu. Kalau nak selesa dan ada bajet lebih, boleh la cuba inap di sini ya.



 Day 5 

Harini merupakan hari terakhir sebelum kitaorang berangkat ke Nagoya dan pulang ke Osaka. Tempat yang aku sempat singgah ialah bandar Gero yang terletak di laluan JRTHP. Perjalanan tren mengambil masa sekitar 1 jam.


 Bandar Gero 



Tahukah anda pada zaman Edo, bandar Gero dianggap sebagai antara tiga onsen terbaik di Jepun. Walaupun bandar ni dah agak maju, tapi kualiti air di sini masih lagi bagus sebab tu la ia agak terkenal. Korang boleh berjalan di sekitar bandar ni. Ada beberapa kolam air panas semula jadi (kaki) untuk orang awam guna secara percuma.


Salah satu keistimewaan bandar Gero ialah korang boleh menikmati puding panas. Ianya segar dan boleh makan di kedai je. Tak boleh take away.


Selesai tengok bandar Gero, kitaorang ke stesen Gero untuk meneruskan perjalanan ke Nagoya menaiki tren Wide View Hida 10 yang mengambil masa sekitar 2 jam lebih. Harap malam bagi perjalanan dari Nagoya ke Osaka tidak termasuk dalam JRTHP ya. Harga tiket tren dari Nagoya - Kansai International Airport ialah dalam 8,280 JPY.


Maka berakhirlah sudah perkongsian aku tentang perjalanan di kawasan Chūbu dengan menaiki perkhidmatan tren dan juga bas yang termasuk dalam JR Takayama Hokuriku Area Pass. Terima kasih sekali kepada pihak JR Central sebab sudi beri pengalaman ini. Untuk korang pula, terima kasih kerana sudi baca artikel ini. Aku harap ia dapat membantu korang untuk rancang perjalanan ke Jepun khususnya kawasan Chūbu nanti ya.