Berbanding lokasi lain macam Tokyo, Hokkaido atau Kyoto, Okayama mungkin jarang ada dalam bucket list sesiapa sedangkan di sini juga ada banyak sangat tarikan yang cukup memukau apa lagi di musim sejuk, yang semestinya musim kegemaran para pengembara dari Malaysia dan negara Asia Tenggara yang lain.



Baru-baru ini Hasif, penulis dari www.hasifhamsyari.com, berpeluang untuk meneroka beberapa tempat menarik di Okayama, baik untuk sekadar bersiar-siar, makan mahupun untuk aktiviti lasak. Jika anda ada plan untuk melawat Jepun di musim sejuk, artikel ini semestinya untuk anda.


Bagaimana ke Okayama? 

Dari Kansai International Airport, kami menaiki Haruka 6 menuju stesen pertukaran Shin-Osaka. Dari Shin-Osaka ke Okayama Station dengan menggunakan Shinkansen Hikari 536.

Semuanya dengan menggunakan JR-West Rail Pass yang berharga ¥9000 (lebih kurang RM350) untuk dewasa untuk lima hari. Untuk dapatkan pas ini, boleh layari www.westjr.co.jp.


Aktiviti-aktiviti menarik pada musim sejuk


1. Membuat Aiskrim

Memandangkan Hiruzen antara yang memiliki lembu Jersey terbanyak di Jepun, aktiviti membuat aiskrim daripada susunya ini bukan setakat menyelerakan, bahkan menyeronokkan! Bahan yang digunakan ialah susu (mestilah wajib ada!), whipping cream, kuning telur, gula dan vanila.


Di sini juga ada kedai serbaneka, restoran (makanan halal atas permintaan) dan taman tema.

Lokasi: Hiruzen Kogen Centre, Okayama Prefecture, Maniwa-shi, Hiruzen, Kami-fukuda 1205-197
Harga: ¥600 (seorang) / ¥1500 (satu kumpulan) - Minimum 2 orang dan maksimum 48 orang
Web: www.hkcenter.co.jp/taiken


2. Snow-shoe Mountain Climbing


Trekking kebiasaannya menjadi kegemaran orang ramai yang minat aktiviti outdoor tapi trekking dalam salji yang lebat semestinya luar biasa. Berbekalkan ski-wear yang tebal dan jurupandu yang cukup berpengalaman iaitu En. Georgie, aku berpeluang meredah perjalanan lebih kurang tiga jam dalam jarak sekitar dua kilometer, turun dan naik bukit dan gunung. Pemandangan Gunung Hiruzen memang cantik!

Harga: ¥5,000 (seorang) - Minimum dua orang dan maksimum lapan orang untuk seorang jurupandu
(termasuk jurupandu dan peralatan lengkap seperti kasut salji)
Web: www.hiruzenyamaasobi.okoshi-yasu.com


3. Menunggang Fatbike


Siapa sangka, menunggang basikal dalam salji sememangnya cukup menyeronokkan! Apalagi dengan berlatarbelakangkan pemandangan yang picture-perfect macam Gunung Hiruzen ni. Tapi basikal yang aku gunakan ialah jenis fatbike yang mana ia memiliki tayar lebih besar dan tahan lasak.

Aktiviti ni terletak berdekatan dengan Kids Snow Park dan tapak Yuki-Koi Snow Festival.

Harga: ¥300 / 2 pusingan
Web: www.khsbicycles.com


4. Berhibur di Kids Snow Park


Walaupun tempat ni diwujudkan untuk kanak-kanak, yang 'berjiwa kanak-kanak' macam aku pun tak salah untuk mencuba. Siapalah boleh menolak untuk aktiviti gelongsor salji, membina orang salji dan melempar salji kan?

Harga: ¥800 (daytrip) / ¥600 (overnight)
Web: www.qkamura.or.jp/hiruzen/ski/


5. Menikmati Hiruzen Yuki-Koi Snow Festival


Festival ni bermula seawal petang yang mana ramai orang akan datang dan membina rumah iglu (kamakura) mini masing-masing. Dan di dalam setiap rumah iglu ini pula akan dinyalakan lilin. Bayangkanlah dengan seribu mini iglu terbina, pemandangannya kala malam memang cantik. Instagram-worthy place!


Harga: Percuma
Web: www.hiruzen.info/yukikoi


6. Bersiar di sekitar Bandar Yubara

Dengan menggunakan Yubara Onsen Guided Walk for Foreign Tourists (Muslim), anda boleh melawat ke beberapa tarikan Muslim-friendly termasuklah pondok onsen (air panas) untuk merendam kaki dan tangan, Sungai Yubara di mana terdapat giant salamander dan tentunya Yubara Onsen (Kolam Air Panas Yubara) yang cukup terkenal.

Harga: ¥1,500/kumpulan (minimum dua orang dan maksimum lapan orang)
Anggaran masa: 40 minit
Web: www.hakkei-yubara.jp/english/


7. Membuat Jem Blueberry


Di pasar tani atau 'Kayou' ini bukan setakat menawarkan restoran dengan hidangan makanan daripada sayur-sayuran dan buah-buahan tempatan, bahkan pelancong juga boleh mencuba membuat jem daripada blueberry yang ditanam di sini. Bahan dan kelengkapannya juga disediakan dan setiap cara diajar satu per satu.

Lokasi: Farmer's Market 'Kayou'
Harga: ¥800 / satu kumpulan (minimum dua orang dan maksimum empat orang)


8. Menikmati Kemanisan Strawberi di Yume Farm


Aktiviti memetik buah strawberi dekat Malaysia pun ada tapi apa yang unik dekat Jepun ni ialah rasa buahnya yang memang manis. Pelancong boleh memetik dan menikmati buah strawberi segar yang ditanam di sini. Makan la sepuas hati tapi kalau nak bungkus, caj lain akan dikenakan.

Lokasi: Dream Farm Haru, 4276 Yoshikawa Kibi Chuo Town, Kaga kun, Okayama Prefecture
Harga: ¥1,400


9. Borong sakan di Okayama Station Shopping Mall

Okayama Station Shopping Mall antara pusat beli belah terbesar di Okayama dan di sinilah korang boleh dapatkan pelbagai jenis produk dan cenderahati untuk dibawa balik. Apalagi, ia terletak dekat dengan stesen kereta api Okayama.

Antara yang boleh didapati termasuklah kibidango yang siap berlogo halal. Sedap!


10. Belajar buat sushi


Lokasi aku membuat sushi ini iaitu Kido Airaku sebenarnya ialah sebuah restoran makanan Jepun. Namun atas permintaan, ia juga mengadakan kelas membuat sushi terutama bagi pelancong asing. Dan guru yang akan mengajar pula bukan calang-calang - Chef Namba yang berpengalaman 48 tahun. Siapa tahu anda boleh buka kedai sushi nanti kat Malaysia? Ehem.


Lokasi: Kido Airaku, 2-9-21, Shimoifuku, Kita-ku, Okayama City, Okayama
Harga: ¥3,000/satu kumpulan (maksimum dua orang dan maksimum 40 orang)
Web: www.kidoairaku.co.jp


11. Menikmati Snek Tradisi Jepun - Terjamin Halal!


Belajar bagaimana kuih kegemaran orang Jepun disediakan melalui Koeido Factory Tour. Kuih ini terselit dalam legenda Momotaro (peach boy) yang cukup masyhur seluruh Jepun yang mana dikatakan inilah sumber yang menjadikan Momotaro kuat melawat kuasa-kuasa jahat.

Apa yang menarik, penghasilan resipi turun-temurun di sini ialah 100 peratus halal.

Lokasi: Koeido, 60 Fujiwara, Okayama City
Harga: Percuma (Minimum 10 orang dan maksimum 60 orang)
Web: www.koeido.co.jp/company_fujiwara.html


12. Mempelajari Pembuatan Produk Kulit


Dengan menggunakan produk kulit Tochigi yang diperbuat di Jepun sendiri, aku dan kawan-kawan diberi peluang untuk membuat key-holder kami sendiri dengan tunjuk ajar guru yang cukup berpengalaman.

Lokasi: CAFE Kobo Tenjin, 201 Kaminocho-kaikan, Tenjin-cho, Kita-ku, Okayama City, Okayama
Harga: ¥4,000/seorang (minimum dua orang dan maksimum 12 orang)
Web: www.cafetenjin.wixsite.com/home


13. Berbusana kimono


Kalau sudah sampai ke Jepun, haruslah mencuba pakaian tradisional mereka iaitu kimono sambil berjalan di sekitar bandar Okayama. Salah satu lokasi untuk mencuba pakaian ini di Okayama ialah di Cha Cha Kimono. Korang bukan sekadar dapat memakai bahkan belajar cara yang betul memakai kimono.


Lokasi: Cha Cha Kimono, 1-10-5, Omote-cho, Kita-ku, Okayama City, Okayama
Harga: ¥3500/orang (harga berlainan jika dipulangkan pada keesokannya)
Web: www.eng.kimono-rental-chacha.com


14. Menziarahi Okayama Kurakuen


Ini antara lokasi wajib singgah kalau ke Okayama tak kiralah apa musim sekali pun sebab di sini setiap musim akan menjadikannya cukup meriah dengan pelbagai aktiviti. Anda boleh menikmati secawan matcha latte dengan kuih kibi-dango sambil menjamu mata dengan pemandangan ladang teh di sebelah kafe.

Lokasi: Okayama Korakuen, Korakuen 1-5, Kita-ku, Okayama City
Harga tiket: ¥400 (dewasa, individu)
Web: http://www.okayama-korakuen.jp/english/


15. Melawat Okayama Castle


Hampir di kebanyakan daerah di Jepun ada istananya tersendiri dan Okayama juga tak terkecuali. Di sini adalah muzium yang mengajar tentang sejarah Okayama dan segala hal budaya yang menarik untuk dipelajari.


Selain itu, pelancong boleh mencuba pakaian wira mereka, bermain permainan tradisional dan macam-macam lagi.

Lokasi: Okayama Castle, 2-3-1 Marunouchi, Kita-ku, Okayama City, Okayama
Harga: ¥1,230/orang (Let's make Bizenyaki)
Web: https://okayama-kanko.net/ujo/english/


16. Memahami Budaya di Saijō Inari

Sumber: www.japanhoppers.com

Salah satu antara tiga tokong Inari terkenal di Jepun, Saijō Inari iyalah antara tokong yang gemar dilawati baik warga tempatan mahupun pelancong asing. Di sini terdapat torri (pintu gerbang tradisional Jepun) yang dikatakan antara terbesar di Jepun dengan ketinggian kira-kira 27.5 meter!

Lokasi: Saijō Inari, 712 Takamatsuinari, Kita-ku, Okayama
Harga: ¥900/orang (Guided tour)
Web: www.inari.ne.jp/en/en-no-massha.html


17. Mencabar kreativiti untuk pembuatan sampel makanan


Salah satu seni yang menarik boleh dilakukan di Okayama juga ialah membuat sampel makanan daripada lilin yang boleh dilakukan di La Luce Dolce. Anda boleh cuba mewarna sampel makanan sushi seperti Ebi (udang), Maguro (tuna) dan Tomago yaki (omelet) dengan tunjuk ajar guru seni berpengalaman. Sampel-sampel ini juga boleh dijadikan sebagai souvenir.

Lokasi: La Luce Dolce, 2-9-1 Hokan-cho, Kita-ku, Okayama
Harga: ¥1,500 (untuk dua jenis sampel sushi)
Web: www.peraichi.com/landing_pages/view/fakefoodstudio


18. Mengagumi keunikan Kurashiki Bikan Area


Kurashiki Bikan Area ni antara salah satu bandar tinggalan sejarah yang cukup ikonik dengan senibina tradisional Jepun. Lokasi ini pada zaman Edo merupakan laluan pedagang dan kini menjadi tarikan pelancongan. Menariknya ialah setiap bangunan di sini masih dikekalkan struktur asalnya.

Antara tarikan lain di sekitar kawasan ini ialah Muzium Ohara, Muzim Permainan, Muzium Kraftangan dan Kurashiki Bengal Cat’s Forest.


19. Bermesra dengan kucing di Kurashiki Bengal Cat's Forest


Siapalah yang tidak terpaut dengan kecomelan kucing apalagi dari baka unik seperti kucing Bengal? Di kawasan Kurashiki ini juga ada sebuah kafe kucing yang menempatkan 16 kucing Bengal yang pastinya cukup menghiburkan. Selain itu, anda boleh beli beberapa souvenirs bertemakan kucing.

Lokasi: 1-1-3 Chuo, 2F Kurashiki no Neko Yashiki, Kurashiki 710-0046
Harga: ¥780/orang (30 minit)


20. Membeli-belah di Mitsui Outlet Kurashiki

Untuk kaki shopping barangan berjenama memang sesuai sangat ke Mitsui Outlet Kurashiki ni. Kawasannya memang luas dan selesa dengan banyak kawasan parkir disediakan. Prepare to be spoiled!

Lokasi: 12-3 Kotobukicho, Kurashiki, Okayama Prefecture 710-0813
Web: www.mitsui-shopping-park.com/mop/kurashiki/english/


Artikel ini dihasilkan melalui jelajah media di Okayama, Jepun anjuran Okayama Tourism bersama-sama dengan Sunrise Tours & Travel. Segala pendapat yang dinyatakan dalam artikel ini adalah milik penulis sepenuhnya dan tiada pengaruh dari pihak penganjur.