Kalau boleh, aku taknak bangun setiap kali tidur di hotel. Setuju atau tak, sejak awal kaki melangkah, kita sudah dimanjakan. Semuanya nampak cantik dan mewah. Setiap fabrik yang menyentuh kulit sepertinya susah nak lepaskan. Ia memaksa kita berehat dengan penuh selesa dan bergaya. Sekali-sekala terfikir juga, “Alangkah bagusnya kalau bilik aku macam ni”.



Bilik hotel selalu menyegarkan semula minda yang keletihan. Sebab itu kita rindu dengan suasananya. Jadi, idea positif ini sangat sesuai dibawa ke rumah, kepada bilik tidur sendiri.


Senarai dan gunakan 7 perkara ini yang menjadi asas idea bilik hotel:

Sebenarnya, tidak mustahil untuk menjadikan bilik tidur kita seperti hotel walaupun bajet kita tidak tinggi. Caranya mudah sahaja. 


1. Lampu tidur


Pencahayaan adalah cara penting tetapi murah untuk menjadikan bilik kita seperti hotel. Lampu sedia ada di rumah biasanya kurang memberikan kesan. Jadi, cuba dapatkan lampu hiasan seperti lampu tidur yang menghiasi sisi katil.

Projek oleh Icon | Sumber
Lampu di sisi katil menaikkan seri ruang tidur dan memberi kehangatan semasa kita memadamkan lampu utama. Jika anda perasan, lampu sisi atau lampu pendakap di hotel selalu memberi rasa nyaman dan selesa. 

Antara tipsnya adalah lampu pendakap lebih elok jika gandingannya sama dengannya. Manakala, lampu hiasan lain lebih mudah disuai padankan dengan gabungan yang berbeza.


2. Cadar dan bantal

Rahsia mengapa kita tenggelam dalam pelukan cadar dan bantal di hotel terletak pada kiraan benangnya. Jika anda mahu mencari cadar, pilih kiraan benang yang tinggi sekurang-kurangnya 300.

Hotel biasanya menggunakan fabrik seperti satin dan linen. Tapi, untuk bilik anda, pilihlah dari jenis fabrik yang anda suka dan selesa. Jika mahu bawa pulang lebih suasana hotel itu, boleh pilih putih sebagai warna cadar.

Bantal kecil di hotel bukan sekadar penghias katil. Ia sentiasa ada di tangan kita semasa menonton televisyen atau membaca buku. Tekstur pada bantal mengubah keadaan bilik yang suram. Bantal-bantal kecil pelbagai corak ini melengkapkan bantal tidur utama dan mampu menjadikan bilik kita persis bilik sebuah hotel. Cuba dapatkan sekurang-kurangnya 4 bantal untuk menghiasi katil anda.


3. Warna 

Tenang dan sofistikasi. Ini yang kita rasa bila masuk ke dalam hotel. Ia dihasilkan oleh pemilihan warna yang biasanya bertona monokromatik. Untuk mendapatkan suasana ini di rumah anda, pilih satu warna dari warna utama dan satu lagi warna selaras. Warna utama ialah kuning, biru, dan merah.


Warnakan siling dengan warna yang sama seperti warna dinding. Jika mahu warna yang berlainan, kurangkan tona warna pada siling sebanyak 20 peratus.


4. Bahan Lantai

Bilik hotel memberi rasa selesa pada kaki kita. Jadi, apa yang kita pasang di lantai juga penting. Jika ini agak tinggi kosnya bagi anda, cuba dapatkan karpet atau ambal yang lembut dan selesa. Semakin lembut ia pada kaki anda, semakin tinggi kesesuaiannya.

Ambal bersaiz kecil, misalnya, sangat bagus jika dibeli lebih dari sehelai. Susunkan ia pada tiga bahagian di sebelah katil. Tapi jika anda mahu memasang karpet di seluruh lantai bilik, pilihlah karpet dengan warna neutral.


5. Bangku 

Bangku di hujung katil bukan sahaja menjadikan bilik kita nampak menarik. Ia menyerlahkan katil selain datang dengan pelbagai fungsi seperti tempat duduk, meletak buku dan kasut.

Bangku datang dalam pelbagai gaya. Bangku yang sarat dengan hiasan batu berkilat dan cermin pada kaki menghasilkan ciri-ciri glamer. Jika tidak mahu bangku, cuba letakkan peti kayu besar pada hujung katil bagi menggantikan bangku biasa. Selain datang dengan pelbagai fungsi, ia juga unik dan memukau pandangan. Peti kayu seperti ini boleh didapati di kedai antik atau perabot.


6. Kepala Katil/Feature Wall

Kepala katil biasanya memudahkan anda bersandar sambil menonton televisyen dan membaca buku. Tapi menghiasi dinding di belakangnya juga memberi kesan kepada keseluruhan ruang. Pilih sama ada memasang gambar berbingkai atau cermin di atas kepala katil untuk menyerlahkan dinding utama bilik.

Hiasan pada dinding di atas kepala katil tidak semestinya mahal. Malah, bahan murah pun sering nampak hebat jika tahu menggayakannya. Gambar tumbuh-tumbuhan yang biasa anda temui di kedai serbaneka mengingatkan kepada alam semulajadi yang damai. Cermin pula memberi kesan visual menarik lebih-lebih lagi jika dindingnya bertentangan dengan tingkap.


7. Aksesori

Ambil peduli dengan aksesori walaupun hanya kita yang akan melihatnya. Bilik bersifat peribadi. Kita akan menghabiskan banyak masa dalam hidup di ruang ini. Jadi, pilihlah hiasan yang dekat di hati anda atau yang anda suka.

Projek oleh Lazern
Ada pelbagai pilihan seperti wangian, bunga segar, lilin, buku, arca dan gambar berbingkai. Ini juga menolak pendapat yang hiasan menarik hanya sesuai diletakkan di ruang tamu. Bilik tidur juga ada hak untuk mendapatkan karya seninya sendiri.

Dengan 7 perkara ini, angan-angan mahu bilik tidur umpama hotel semasa percutian anda yang lalu akan menjadi kenyataan tidak lama lagi. Ramai yang sudah mengambil idea ini untuk renovate rumah dan bilik tidur supaya lebih menarik dan selesa. Kini percutian anda berlaku setiap hari. Anda pasti akan merindui bilik tidur anda setiap kali meninggalkan rumah.

Anda juga boleh mendapatkan nasihat dan sebut harga daripada ramai pereka untuk renovate rumah anda.

Artikel ini dihasilkan melalui kolaborasi bersama Recommend.my. Layari laman web mereka jika anda mahu lebih banyak idea daripada firma-firma tempatan. Ada beribu gambar menarik untuk inspirasi anda di sana.