POTA 2015: ADAKAH IANYA SATU KEPERLUAN?

Friday, April 24, 2015 Mohd Shahril Fawzy 3 Comments

Peningkatan kadar aktiviti atau kepercayaan yang boleh menjurus kepada keganasan dalam negara kita ini telah mendorong kerajaan untuk memperkenalkan Rang Undang-Undang baharu iaitu Pencegahan Keganasan 2015 (POTA) bagi memastikan keselamatan negara berada di tahap yang memuaskan serta selamat daripada sebarang pengaruh kurang baik dari luar negara.


Antara tujuan undang-undang ini diperkenalkan adalah untuk mencegah perlakuan atau sokongan bagi perbuatan keganasan yang melibatkan organisasi pengganas dari sesuatu negara asing, memastikantiada individu terlepas daripada sebarang perundangan sekiranya mereka melibatkan diri dalam kegiatan keganasan dan memastikan rakyat dan keamanan negara tidak diganggu oleh pihak yang terlibat dalam aktiviti militant.

Beberapa elemen kuasa dalam POTA ialah seorang polis tanpa waran dan terdapat alasan kukuh, boleh menangkap mana-mana pihak yang didapati bersalah, kes juga hendaklah dirujuk oleh pegawai polis kepada Pendakwa Raya untuk mendapatkan arahan, mana-mana pihak yang ditangkap hendaklah dibawa di hadapan seorang Majistret serta tiada seorang pun boleh ditangkap semata-mata atas kepercayaan politiknya.


POTA, yang juga telah dibentang oleh Perdana Menteri Malaysia, telah diperkenalkan selepas berbangkitnya isu berkenaan dengan ancaman kumpulan Islamic State (IS) yang juga turut menjadikan ramai rakyat Malaysia sebagai mangsa dalam konflik ini. Dalam konteks ini, kita dapat lihat bahawa kerajaan begitu memandang serius terhadap IS yang kini menjadi kebimbangan masyarakat Malaysia.

Tidak dapat dinafikan bahawa ada pihak yang menyokong akta ini dan salah seorang daripada mereka ialah Exco Pemuda Umno, Shahril Hamdan yang menganggap POTA adalah sangat diperlukan sebagai pencegahan untuk menghalang rakyat Malaysia terlibat dengan kumpulan militant IS dan ancaman-ancaman ekstremisme yang bakal mendatang pada masa hadapan. Walaubagaimanapun, terdapat beberapa persoalan yang telah bangkit berkenaan dengan POTA.

Namun, berbeza pula pandangan yang datang daripada seorang pemimpin UMNO, Ketua Yayasan Pergerakan Kesederhanaan Global (GMM), Datuk Saifuddin Abdullah berpendapat bahawa POTA tidak mampu menangani masalah keganasan dalam negara kerana ia mempunyai elemen yang sama dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1948 yang juga memperuntukkan hukuman tahanan tanpa bicara. Selain itu, ISA juga tidak dapat membendung kebangkitan kumpulan militan. Beliau dengan tegas menyatakan bahawa akta SOSMA 2012 sudah mencukupi.

Pihak lain turut mengatakan bahawa POTA tidak diperlukan kerana akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 telah pun diperkenalkan dalam negara ini. Mengulas kembali tentang apa yang telah disebut oleh Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) iaitu Tan Sri Hasmy Agam yang kesal POTA diluluskan oleh Parlimen pada 7 April lalu. Beliau menganggap bahawa terdapat keraguan di dalam beberapa peruntukan POTA yang telah diputuskan tanpa berunding dengan pihaknya.

POTA juga dianggap sebagai akta yang bercanggah dengan piawaian hak asasi manusia antarabangsa. Jelas bahawa suruhanjaya bimbang berkenaan dengan implikasi terhadap hak asasi manusia dalam beberapa peruntukan di dalam akta tersebut. Namun begitu, jaminan telahpun diberikan oleh Menteri Dalam Negeri bahawa undang-undang ini tidak akan disalah guna atau digunakan untuk menghapuskan perbezaan pendapat politik.

Negara tidak memerlukan banyak akta yang berlainan dengan intipati yang hampir sama antara satu akta dengan akta yang lain. Apa yang diperlukan ialah akta yang berkesan serta efektif dalam menangani sesuatu masalah. Tiada gunanya jika ia diperkenalkan namun tidak berfungsi sebagai mana yang telah dirancang. Seperti yang dinyatakan oleh Datuk Saifuddin Abdullah, tidak perlu perkenalkan akta baharu, guna sahaja akta yang sedia ada.

Selain itu, pengenalan sesuatu akta seharusnya bukan untuk memberi kelebihan terhadap sesuatu pihak politik sebagai contoh menyekat perbezaan pandangan politik serta banyak lagi. Akta-akta yang diperkenalkan seharusnya bukan untuk parti politik semata-mata. Natijahnya, POTA telahpun diperkenalkan dan terdapat perbezaan pandangan daripada pelbagai pihak. Namun, sejauh mana keberkesanan akta ini hanya dapat dilihat jika ianya dapat mengawal aktiviti keganasan dalam negara seperti pengaruh IS dan aktiviti ekstremism yang kian menjadi kebimbangan orang ramai. Adakah POTA 2015 betul-betul diperlukan? Think about it.

Video sampingan yang mampu membuka mata serta minda orang ramai



For academic purposes only

Regards,
Mohd Shahril Fawzy

3 comments:

  1. Semoga kita dapat berfikir dengan kritis..

    ReplyDelete
  2. tak tahu lah skrg nii.. penuh dgn fitnah akhir zaman.. moga moga dijauhkan.. nauzubillah min zalik

    ReplyDelete
  3. Sebenarnya kalau tak tgk kat blog Pojie ni mmg tak tahu pon ttg POTA.Semoga Rang Undang-Undang baharu iaitu Pencegahan Keganasan 2015 (POTA) akan dpt mencegah dan mengelakkan lbh byk keganasan drp berleluasa..Semoga negara kita akn bebas dari kegiatan seperti ini..thanks sharing pojie..

    ReplyDelete